mujahadah itu pahit

Ubat selalunya pahit dan rawatannya juga selalunya perit. Oleh kerana inginkan badan sihat, kita rela menelan kepahitan dan menanggung kesakitan berpantang. Inginkan nikmat sihat. Indahnya sihat. Jalan untuk mengubat hati juga begitulah. Terpaksa menempuh jalan mujahadah. Untuk mengubat hati juga perlukan ubat yang pahit, bukannya senang dan manis seperti makan gula-gula kapas. Namun, semuanya perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati?

Pertamanya, melazimi majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah taman syurga di dunia dan dinaungi oleh malaikat. Teduhnya majlis ilmu dinaungi sayap malaikat seteduh hati yang menerima ilmu dengan tenang. Jika kita sering berada di taman syurga dunia, insyaALLAH akan memberi harapan yang cerah untuk berada di taman syurga hakiki di akhirat kelak.

Ramai ulama yang berpendapat jika seseorang tidak menghadiri majlis ilmu sehingga 40 hari (ada yang mengatakan 3 dan 7 hari), maka hatinya akan gelap dan keras. Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga seperti pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit semata-mata untuk sihat. Imam Al-Syafi’e secara sinis pernah menganjurkan agar orang yang malas, enggan dan mempunyai pelbagai alasan untuk menghadiri majlis ilmu agar ditakbirkan kepadanya 4 kali. (ya, takbir 4 kali untuk jenazah, semestinya). Dengan erti kata lain, orang itu seolah-olah sudah mati (mati jiwa dan hatinya!!)

Terangkan hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan nama-namanya yang 99, nama yang baik dan mulia. Ingat, ilmu wahyu akan menerangi hati, manakala ilmu dunia akan menerangi kehidupan. Hakikatnya ilmu hati diambil dari ayat-ayat dari Al-Quran.

Kemudian, susuli dengan langkah seterusnya. Ilmu adalah imam dan amal adalah makmumnya. Amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati adalah zikrullah – mengingati Allah. Cara yang paling utama mengingat Allah adalah solat. Solat 5 waktu adalah sillah (penghubung) antara hamba dan tuhanNya. Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan, dan resapkan rasa-rasa dari segala gerakan dan bacaan itu ke dalam hati. Walau susah sungguh tapi paksalah diri dengan bersungguh-sungguh.

Bisa itu menjadi biasa apabila dilazimi, apalagi penawar yang dibawakan terus oleh Allah – Tuhan yang mencipta kita. Al-Quran dan solat tentulah akan menjadi lebih mudah dan senang apabila dilazimkan. Hati sakit ketandusan ubat. Solat itu penawar. Mungkin pada awalnya amat susah untuk kita merasa kemanisan dan nikmatnya, namun akan terasa juga manisnya apabila kita berterusan mengamalkannya.

Seperti sakit fizikal yang ada pantang larangnya ‘sakit hati’ juga sedemikian. Makan ubat tidak boleh diiringi dengan ‘makan racun’. Tidak faham? Begini, apalah gunanya suntik insulin, makan ubat untuk pesakit kencing manis jika masih minum minuman manis, makan coklat dan gula-gula. Pesakit darah tinggi pula jika memakan ubat tetapi tetap juga memakan daging dan makanan tinggi lemak, tidak ada harapan untuk sembuh. Penyakit tidak akan sembuh jika melanggar pantang. Bahkan, pengamal perubatan tidak kiralah tradisional mahupun moden sering menegaskan bahawa berpantang lebih baik daripada berubat (prevention is better than cure). Berpantang di sini menggantikan perkataan ‘mencegah [prevention]’.

Usaha penyembuhan ‘sakit hati’ ada pantang larangnya. Pantangnya adalah mengelakkan dari perkara yang menyuburkan nafsu seperti terlibat secara langsung dengan perkara yang diharamkan misalnya pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu dan lain-lain perkara. Sebaik-baiknya carilah kawan-kawan yang seia dan sekata dalam erti kata lain kawan yang mengajak kepada kebaikan dan boleh menegur jika kita melakukan kesalahan. Bentuk satu kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa yakni sama-sama mencari cinta Allah.

by: dr.muslimah

0 comments:

Post a Comment