Bicara Rindu buat isteriku

3 comments


Sayang,
Pada saat dan ketika aku catatkan bicara hati ini, ketahuilah olehmu bahawa aku dalam keadaan nazak rindu padamu.
Sejak aku bersamamu, aku sentiasa diselubungi bahagia walaupun kerinduannya datang menerjah tembok kesabaran hati.

Sungguh kukatakan bahawa cintamu buat aku rasa disayangi.
Walau aku tidak pasti bagaimana kesudahan kisah cinta kita, namun aku sentiasa berdoa agar kesudahannya dapat membahagiakan kita dunia dan akhirat.
Kita telah bina dasar cinta kita atas asas perjuangan di jalan Allah.
Pertemuan yang ditakdirkan tuhan telah membuahkan rasa cinta dan kasih yang kukuh di hati.

Sayang,
Terlalu berat untuk aku lepaskan dirimu untuk berjauhan dariku. Bagaimanakah akan kuhadapinya sedangkan rindu ini tidak pernah kurang apatah lagi padam walaupun dirimu berada di hadapan mataku, di sisiku.

Sayang,
Setiap detik waktu yang bersisa, wajahmu sentiasa hadir dan berbicara denganku. Walaupun hanya sanubari dan jiwaku yang dapat melihat wajahmu, namun aku tetap rasakan kemanisan pertemuan rahsia itu.

Sayang,
Tiada satu pun perumpamaan yang dapat ku ungkapkan bagi menggambarkan bagaimana perasaanku pada saat ini. Hanya orang yang merindui sahaja yang dapat mengerti betapa merananya aku apabila bunga rindu berputik di tangkai kasih ini.

Sayang,
Aku sentiasa berharap, tembok kesabaranmu tetap kukuh sementara menanti kepulanganku kepangkuanmu. Aku berdoa agar ia tidak akan goyah dilanda ombak rindu. Pada pertemuan yang akan kita ciptakan nanti, ingin sekali aku menatap wajah mu, mendengar bicaramu yang bisa menenangkan jiwaku yang kelemasan ini. Semoga tuhan akan memberkati harapan kita ini.
Sayang..........aku merinduimu.............

Wahai isteriku

0 comments

Wahai isteriku,
Jika kau harapkan kepadaku untuk menghargai dirimu
aku tidak mampu memberikannya selalu
kerana kekadang aku juga lemah tidak terdaya

Wahai isteriku
Haraplah pada Allah SWT
KERANA Allah SWT yang memegang jiwaku
agar aku menghargai dirimu

Wahai isteriku
Jangan sesekali kau menangis keranaku
tetapi menangislah kerana Allah SWT
yang kekadang kau lupa akan diriNya
kerana terlalu mengharapkan penghargaan daripadaku

Wahai isteriku
Aku takut meletakkan harapanku kepadamu
kerana aku lebih mengharapkan Allah SWT
untuk membimbingmu menjadi isteri yang terbaik untukku

Wahai isteriku
Aku takut menghargai dirimu
melainkan penghargaan atas kehendak Allah SWT
kerana aku hanya menurut kehendak Allah SWT

Wahai isteriku
Dikala kau bersedih keranaku
ketahuilah bahawa kau sedang jauh dari Allah
kerana kau mengharapkan diriku lebih daripadaNya

Wahai isteriku
aku tidak mampu membahagiakan dirimu
kerana aku hanya mampu lakukan yang terbaik untukmu
tetapi Allah SWT yang memberikan kebahagiaan itu untukmu

Wahai isteriku
simpanlah air matamu hanya untuk Allah
bukan untuk diriku
kerana aku bimbang kau lebih mengharapkan aku daripada Allah

Wahai isteriku
sesungguhnya aku menyayangi dirimu
hanyalah kerana Allah SWT
yang melantik diriku menjadi wakil utk menyayangimu

Wahai isteriku
sesungguhnya aku menjadi penemanmu
semata-mata kerana Allah SWT
yang mewakilkan diriku untukmu yang dikasihiNya

Wahai isteriku
Sesungguhnya aku juga insan yang lemah
yang sekadar memiliki kudrat
hanya atas apa yang Allah izinkan untukku

Wahai isteriku
tuntutlah penghargaan daripada Allah SWT
pasti nanti Allah SWT menggerakkan diriku
untuk menghargai dirimu

Wahai isteriku
semoga kita sentiasa diberi mawadah, rahmah dan sakinah
oleh Allah SWT
dengan semata-mata mengharapkan diriNya

Wahai isteriku, aku redha dan rela dirimu mencintai Allah
lebih daripada mencintai diriku
Kerana aku yakin, apabila dirimu mencintai Allah lebih daripada mencintaiku,
kau bukan sekadar mencintai diriku,
malah pastinya kau redha dan sanggup berkorban apa sahaja
sepenuh hatimu untukku dan bersama denganku.
Dan semuanya yang kau relakan itu hanya kerana cintamu pada Allah SWT.

Wahai isteriku,
Aku mencintaimu kerana Allah SWT dan aku mengharapkan kau juga begitu.

Ya Allah, ajari kami ya Allah untuk menyayangi antara kami ya Allah. Ajari kami untuk menghargai diri kami ya Allah. Jagai jiwa kami ya Allah. Sesungguhnya perkahwinan kami ini atas kehendakMu ya Allah. Kami serahkan seluruh kehidupan kami kepadaMu ya Allah. Terima kasih ya Allah..terima kasih.

[note]: Sekadar luahan hati seorang suami yang hanya sekadar mampu memberikan yang terbaik kepada isteri. Namun kebahagiaan, kepuasan hati, keceriaan, keharmonian, mawadah, kasih sayang dan semua itu adalah datang dari Allah terus ke jiwa isteri. Suami tidak mampu lakukan yang itu. Suami hanya mampu lakukan tanggungjawab yang diberi Allah.

Untuk isteriku


Ingin kubuktikan cintaku

1 comments

Ingin kubuktikan cinta padanya
Seorang insan yang amat istimewa
Meskipun dia tak pernah ku temui
Namun sirahnya kerap ku dengari
Menambah cinta dan kagum pada dirinya

Dia sangat kasihkan anak yatim juga yang tua
Manis senyumnya menyapa sesiapa sahaja
Lembut tuturnya berbicara menenang jiwa
Hikmahnya dia dalam marah jua gembira
Rendah dirinya dalam pergaulan
Padahal dia sebaik-baik insan

Hebatnya dia dalam bersahabat
Sentiasa menghulur nasihat
Selalu mengutamakan teman
Kerana merasa malu kepada Tuhan

Ibadahnya hebat sekali
Padahal padanya telah dijanji kedudukan tinggi
Malahan syurga dalam genggamannya pasti
Katanya, apa tidak pantas aku menjadi hamba yang mensyukuri?

Teguhnya dia sebagai daie
Memperbaiki diri dan beramal sebelum peringatan diberi
Tidak mudah melatah malah luhur memberi kemaafan
Tidak pernah putus asa dalam menyampaikan
Kerana sifat tabligh jadi pegangan

Allahumma solli ala Muhammad…
Dialah kekasih-Nya rahmat seluruh alam
Cintanya pada Tuhan tiada bandingan
Cintanya pada umat tidak terjangkaukan
Dia insan terhebat di dunia juga penghulu di syurga

Malunya aku pada diri sendiri
Lidah lancar melafaz cinta padanya
Namun akhlakku jauh sekali menurutinya
Kadang-kadang kurang sabar dengan karenah yang menyakiti
Kerap juga rasa jengkel pada telatah yang mengganggu
Mudah pula bereaksi membenci bila teruji
Bila berkawan terkadang pentingkan diri
Berat pula untuk mengutamakan teman
Ibadahku masih bermalas-malasan
Dakwahku pula hanya cukup-cukupan

Ya Allah,
Jadikan dia cinta agungku selepas cinta pada-Mu
Berikanku kekuatan menuruti suri teladan baginda
Kuatkan diriku untuk beramal dengan sunnahnya
Lembutkan hatiku untuk mencontohi akhlaknya
Agar dapat kubuktikan cintaku!

by: suluh hati