Pernikahan



Aku terima nikah Sharifah Syaeirah binti Syed Safian dengan mas kahwinnya senaskah al-quran tunai.

Aku bernikah dengan Sharifah Syaeirah binti Syed Safian pada hari - 12 Februari 2010 atau 12022010 (itu akad nikah dengan Syeikh Yusri) manakala pada 14 Februari 2010 dengan kedutaan Malaysia diwakili Ustaz Hanif, pegawai Johor. Bukanlah nombor yang cantik, tapi ada apa pada nombor? Yang pasti, selepas ini apabila orang sibuk merayakan Valentine dengan kekasih, kami pula menyambut ulang tahun pernikahan kami. Aku menyambutnya dengan kekasih yang halal bagiku, setiap hari yang dipenuhi dengan cinta, bukan sekadar pada 14 Feb.

Sebenarnya, kami merancang untuk dinikahkan lebih lewat daripada tarikh majlis makan besar yang dijadualkan pada Februari tersebut. Namun atas masalah tertentu, majlis perkahwinan terpaksa diawalkan dan kami pada pihak lelaki tiada masalah untuk bersetuju dengan itu. Walimahnya pula pada 15 Februari. Usai urusan pernikahan, fikir pula mengenai majlis makan besar, tapi tidaklah sebesar mana, cuma sekadar kenduri kesyukuran. Lebih mudah begitu. Tambahan pula, selepas dinikahkan, lebih mudah untuk aku bantu dan berinteraksi dengan isteri tanpa mengundang fitnah.

Dengan ikatan pernikahan yang dijalinkan, aku mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah kerana memberikan aku peluang untuk melalui fasa hidup yang juga dilalui oleh nabi terakhirnya, Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah...

Benar,
aku perlukan seorang isteri,
untuk menemani hidupku yang kesepian,
untuk membuatkanku semakin sedar akan kebesaran Allah,
untuk menjadi pengingat bagi diriku ketika aku lupa,
menjadi ibu kepada anak-anakku nanti,
menjadi ketua bidadari yang menemaniku di syurga kelak,
Insya Allah...

Semoga segalanya berjalan dengan lancar pada hari ini. Aku minta maaf sekiranya ada yang terasa hati jika aku tidak maklumkan akan pernikahan kami. Aku minta maaf juga sekiranya ada yang terasa hati kerana tidak dijemput ke majlis pernikahan ini. Bukan apa, majlis pernikahan ini dibuat secara tertutup dan diadakan di Mesir. Hanya keluarga (kat Mesir, kawan-kawan adalah keluarga) dan rakan-rakan terdekat yang akan berada di tempat akad nikah itu . Buat rakan-rakan lain, aku jemput kalian semua untuk memeriahkan majlis persandingan kami sepertimana yang aku hantar melalui YM dan dikirim sahabat handai.

Wahai Al-Hafidz, wahai Syaeirah,
Berbahagialah hidup sebagai suami isteri,
Amin...

0 comments:

Post a Comment