Dia menangis lagi

Maghrib itu, aku solat bermakmumkan isteriku.

Usai solat, kami sama-sama berdoa dan mengaji seketika, menunggu waktu Isyak.

Selepas Isyak, isteriku membuka internet, kutahu dia suka melayari internet dan membaca blog serta rajin mengemaskini website serta blog sendiri.

"Eh, dah mengandung dah..." Oleh sebab aku yakin dia bukan berkata tentang dirinya, aku teruskan sahaja memejamkan mata. Penat bertandang ke Kaherah dari Damanhur belum lagi hilang.

Tidak lama kemudian, dia datang kepadaku lalu memelukku. Hati-hati dia dekat padaku. Tangannya merangkul pinggangku. Mukanya pula dibenamkan ke bantal. Tidak pula aku syak apa-apa melainkan kerinduan memelukku yang mungkin terselit di dalam hatinya.

Dia tidak bergerak-gerak. Timbul rasa pelik.

Ah, bukan tidak kukenal isteriku ini. Mesti ada apa-apa ni!

Kubuka mata lalu cuba melihat wajahnya. Dia menepis lembut. Tapak tangannya menutup kedua-dua mata, namun kuberjaya menduga bahawa dia rupa-rupanya sedang menangis apabila jelas hidungnya merah dan pipinya basah.

"Sayang, kenapa menangis ni?" Dia tidak terus menjawab, mungkin sedang melayan perasaan.

Fitrah wanita, jika ada yang mengusik jiwa dan nalurinya, mudah air mata mengalir. Pada saat itu, aku masih gagal mengagak puncanya tiba-tiba mengalirkan air mata, hinggalah aku teringat kata-katanya tadi.

Mungkin!

"Kawan sayang yang baru kahwin itu, sudah mengandung ya?" kutanyanya, menduga tekaanku. Sensitifnya hati isteriku apabila membicarakan tentang bayi dan mengandung. Perasaan inginkan zuriat menebal dalam hatinya. Apabila positif test awal dahulu, dia amat gembira namun bukan rezeki kami, isteriku tergelincir dalam bilik air dan........

Dia cuma mengangguk perlahan. Aku senyum dalam senyapku. Betul agakanku.

Sedikit masa kuambil sebelum kuungkapkan kata-kata nasihatku, "Sayang, mungkin belum rezeki kita. Mungkin rezeki mereka begitu caranya, rezeki kita lain pula caranya. Bukankah Allah itu Maha Adil. Dia Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk kita."

Mulalah aku membebel. Dia cuma mendengar sambil air mata setitik demi setitik membasahi lenganku.

"Walau apapun sayang, tak kira dapat anak cepat ke, dapat anak lambat ke, dapat anak seorang dua sahaja ke, dapat anak berderet-deret ke, pokok pangkalnya - bahagia. Tak guna dapat anak cepat, tapi tak bahagia. Tak guna anak berderet-deret, tapi tak bahagia."

Aku sambung, "Kita ni baru kahwin 4 bulan. Mungkin Allah suruh kita ni hidup berdua dahulu. Kita kena betul-betul hargai masa berdua yang kita ada sekarang. Nanti jika ditakdirkan mengandung, cara kita menghargai masa dah lain. Nanti anak dah lahir, lain pula. Yang penting, kita cari kebahagiaan dengan apa yang kita ada di depan mata kita dahulu."

Dia senyap sahaja.

Maafkan Abang, wahai isteriku. "Bertuah" kau dapat suami yang kuat membebel. :)

2 comments:

Anonymous said...

Ya kebahagian itu Allah bagi cara yang berbeza..harap bahagia hingga ke akhir hayat...

seposeng karat said...

Setiap yg berlaku ada hikmahnya..apa yg dianugerahkan kpd hamba itu adalah mengikut perancangan dari-Nya..apa yang penting, perlu bersyukur dan menghargai apa yg ada di hadapan kita..

Post a Comment