Ingin kubuktikan cintaku

1 comments

Ingin kubuktikan cinta padanya
Seorang insan yang amat istimewa
Meskipun dia tak pernah ku temui
Namun sirahnya kerap ku dengari
Menambah cinta dan kagum pada dirinya

Dia sangat kasihkan anak yatim juga yang tua
Manis senyumnya menyapa sesiapa sahaja
Lembut tuturnya berbicara menenang jiwa
Hikmahnya dia dalam marah jua gembira
Rendah dirinya dalam pergaulan
Padahal dia sebaik-baik insan

Hebatnya dia dalam bersahabat
Sentiasa menghulur nasihat
Selalu mengutamakan teman
Kerana merasa malu kepada Tuhan

Ibadahnya hebat sekali
Padahal padanya telah dijanji kedudukan tinggi
Malahan syurga dalam genggamannya pasti
Katanya, apa tidak pantas aku menjadi hamba yang mensyukuri?

Teguhnya dia sebagai daie
Memperbaiki diri dan beramal sebelum peringatan diberi
Tidak mudah melatah malah luhur memberi kemaafan
Tidak pernah putus asa dalam menyampaikan
Kerana sifat tabligh jadi pegangan

Allahumma solli ala Muhammad…
Dialah kekasih-Nya rahmat seluruh alam
Cintanya pada Tuhan tiada bandingan
Cintanya pada umat tidak terjangkaukan
Dia insan terhebat di dunia juga penghulu di syurga

Malunya aku pada diri sendiri
Lidah lancar melafaz cinta padanya
Namun akhlakku jauh sekali menurutinya
Kadang-kadang kurang sabar dengan karenah yang menyakiti
Kerap juga rasa jengkel pada telatah yang mengganggu
Mudah pula bereaksi membenci bila teruji
Bila berkawan terkadang pentingkan diri
Berat pula untuk mengutamakan teman
Ibadahku masih bermalas-malasan
Dakwahku pula hanya cukup-cukupan

Ya Allah,
Jadikan dia cinta agungku selepas cinta pada-Mu
Berikanku kekuatan menuruti suri teladan baginda
Kuatkan diriku untuk beramal dengan sunnahnya
Lembutkan hatiku untuk mencontohi akhlaknya
Agar dapat kubuktikan cintaku!

by: suluh hati

Tip suami isteri membeli belah

2 comments

Membeli barangan adalah suatu aktiviti wajib untuk setiap manusia di muka bumi ini. Jual beli memudahkan kehidupan kita untuk memenuhi kehendak dan keperluan kita. Membeli menyeronokkan apabila kita ada duit. Lagi menyeronokkan kalau barang yang kita belikan itu memenui kehendak hati kita.

Ditambah seronok lagi kalau barang yang dibeli itu didapati dengan harga yang murah. Dan yang teramat sangat sukanya di hati kita ialah apabila ada orang memuji barang yang kita beli itu. Makhluk di atas bumi ini yang paling seronok membeli-belah ialah SEMESTINYA PEREMPUAN. Bagi orang lelaki, ia adalah satu kewajipan. Tetapi orang perempuan, ia adalah hobi, melegakan tekanan jiwa, meredakan gundah gulana dan menghiburkan hati sanubari.

Orang perempuan kalau membeli kerongsang (pin hiasan di tudung) mungkin mengambil masa 30 minit - 1 jam untuk membuat keputusan memberlinya. Dalam fikiran mereka tercatat pelbagai maklumat yang dirujuk sebelum membuat keputusan seperti..sesuai tak dengan kebaya yang di baru beli tu.... match tak dengan warna tudung ... ada tak sesiapa sepejabat yang telah pakai corak pin ini .... harga yang ni sama tak dengan yang terdapat di kedai sebelah ... kalau pakai ni nampak pelik tak .... macam-macam seribu satu macam. Lain sangat dengan orang lelaki. Contohnya membeli butang baju melayu.

Itu pun kerana terlanggar semasa nak ke masjid, terus menanyakan harga...dan terus bayar. Tak sampai 2 minit. Langsung tidak terfikir sesuai tak dengan warna baju dan sebagainya.. Ada lelaki tu pergi solat raya dengan memakai baju warna biru.. tetapi warna butangnya ada warna merah, emas dan ada yang dah terkeluar batu warna.. itupun biasa aje terus pakai... asalkan ada butang sudaaaah laa.

Itu orang lelaki. Kalau isterinya nampak , pasti perang sakan di pagi raya sebab suami pakai butang tak matching dengan baju...kata dia, "Nanti orang kata dia tak pandai mendandan suami..." malulah dia....

Perbezaan inilah yang menyebabkan salah satu punca konflik di antara suami isteri terutama sekali di komplek-komplek membeli belah sekarang ini. Isteri nak waktu yang lama, panjat kedai sana panjat kedai sini untuk pilih satu kain..Suami nak cepat sebab dah tak tahan tengok cara isteri memilih barang. Akhirnya buat keputusan bawa anak lari ke restoren.. LEGAAA.. boleh baca paper dan majalah.. itupun kot anak2 tu tak nakal dan buas nak merayau. Yang paling suami tak suka ialah.. apabila tiba di rumah.... isteri mengadu barangan yang dibeli tersilap.. minta abang tolong tukarkan dengan segera... Dahla berjam-jam pilih barang.. tiba di rumah ada juga yang tersilap.... . suami mana tak melenting. Itu adalah tabii ciri-ciri wanita yang ciptakan oleh Allah.

Bukan sesuatu kelemahan. Oleh itu, untuk memastikan peristiwa di atas ini tidak berulang, eloklah suami menggunakan tips ini. Paling kurang, tidaklah terlepas pahala puasa kita kerana asyik geram marah padanya semasa shopping tu.

1) Niatkan untuk menghiburkan dia semasa shopping. Jika dia terhibur,barang yang dia akan beli lebih "masak" proses dia membuat keputusan. Jika niat ini benar-benar dari hati kita, ia terpancar ke muka kita walau pun ada seketika timbul perasan menyampah... tetapi kuasa niat tadi mampu untuk melenyapkan muka bosan itu nanti. Teruskan niat ini disepanjang sesi shopping ini bahawa "sebagai suami, aku ingin menghiburkannya kerana Allah Taala";

2) Kosongkan aktiviti kita pada hari itu melainkan semata-mata untuk bersamanya. Jangan ada sekali-kali temujanji dengan sesiapa selepas shopping. Kerana, waktu "kecederaan" yang diambil oleh isteri ini, biasanya, melebihi 20-50% dari yang dijanjikan. Yang dibimbangkan nanti ialah orang yang dijanji telah menunggu tetapi isteri masih beratur berbaris di kaunter bayaran.. Akhirnya kemanisan yang dikecapi selama 4 jam tadi tercemar dengan kelewatan isteri 4 minit;

3) Alangkah romantisnya kalau suami tidak membawa handsetnya bersama. Terhindar dari gangguan;

4) Semasa berkereta atau dalam perjalanan ke komplek membeli belah.. eloklah tanyakan kepada isteri ......apa barang yang ingin beli, apa kriteria, apa jenis, apa alternatif yang boleh dia terima jika kehendak pertama tidak ditemui.. julat harga yang dijangkakan. . (jangan terkejut dia akan keluar berjela senarai perbandingan harga bagi satu jenis barang.. termasuk jenis barang yang sama yang terdapat di England sekali).. Ini akan menyebabkan isteri itu lebih bersedia dan lebih melonjak keseronokannya;

5) Tiba di kedai tu..buat-buatlah sibuk tunduk bongkok mencari barang yang dia cari. Jangan berdiri tercegat di pintu kedai atau tinggalkan dia sendirian sambil kita pula merayau kedai lain;

6) Kalau dia meminta "second opinion" dengan kata-katanya, "Pelik tak abang kain ni untuk saya"...? Berilah pandangan dengan kata-kata, "Pada pandangan abang ........" Jangan terus kata, "OK" .. Lawa.. kemudian senyap;

7) Kalau dia minta pandangan mengenai sesuatu barang yang dia nak beli, jangan terus membelek tanda harga. Ini mengecewakannya. Berilah dulu pandangan kita dari sudut nilai astetiknya. Sebab faktor harga adalah penilaian terakhir bagi mereka. Mereka sanggup berbelanja lebih jika barangan itu memenuhi keperluan dan kehendak mereka;

8) Mata tu jangan terlampau sangat menjeling wanita-wanita lain yang sedang shopping... Dia nampak tau. Tapi kita dibolehkan mengusik jurujual wanita-wanita tu dengan alasan untuk membantunya mendapatkan barangan kehendaknya;

9) Bila tiba dirumah, tolonglah dia sekejap membuka barangan yang telah dibeli tadi, pasti dia akan mencuba sekali lagi. Pujilah dia kerana bijak memilih barangan itu; dan

10) PERHATIAN: sebelum isteri kita mencuba pakaian luar atau dalam di tempat mencuba pakaian yang terdapat di kedai-kedai itu, kita hendaklah masuk dahulu dan periksa semua bahagian di bilik kecik itu agar bebas dari WIRELESS CAMERA. Kita bimbang ada orang merakam dan menyebar ke dalam internet. Malu dia dan kita.

Selamat mencuba dan semoga anda menjadi suami / isteri yang romantis di lorong-lorong kompleks membeli belah. Percaya lah, jika tips ini anda amalkan, dia akan dengan senyap membeli hadiah untuk anda tanda CINTAnya kepada anda. Dan dengan rasa megah menceritakan kepada kawan2nya, "baju ni hubby i yang pilih"

Dia menangis lagi

2 comments

Maghrib itu, aku solat bermakmumkan isteriku.

Usai solat, kami sama-sama berdoa dan mengaji seketika, menunggu waktu Isyak.

Selepas Isyak, isteriku membuka internet, kutahu dia suka melayari internet dan membaca blog serta rajin mengemaskini website serta blog sendiri.

"Eh, dah mengandung dah..." Oleh sebab aku yakin dia bukan berkata tentang dirinya, aku teruskan sahaja memejamkan mata. Penat bertandang ke Kaherah dari Damanhur belum lagi hilang.

Tidak lama kemudian, dia datang kepadaku lalu memelukku. Hati-hati dia dekat padaku. Tangannya merangkul pinggangku. Mukanya pula dibenamkan ke bantal. Tidak pula aku syak apa-apa melainkan kerinduan memelukku yang mungkin terselit di dalam hatinya.

Dia tidak bergerak-gerak. Timbul rasa pelik.

Ah, bukan tidak kukenal isteriku ini. Mesti ada apa-apa ni!

Kubuka mata lalu cuba melihat wajahnya. Dia menepis lembut. Tapak tangannya menutup kedua-dua mata, namun kuberjaya menduga bahawa dia rupa-rupanya sedang menangis apabila jelas hidungnya merah dan pipinya basah.

"Sayang, kenapa menangis ni?" Dia tidak terus menjawab, mungkin sedang melayan perasaan.

Fitrah wanita, jika ada yang mengusik jiwa dan nalurinya, mudah air mata mengalir. Pada saat itu, aku masih gagal mengagak puncanya tiba-tiba mengalirkan air mata, hinggalah aku teringat kata-katanya tadi.

Mungkin!

"Kawan sayang yang baru kahwin itu, sudah mengandung ya?" kutanyanya, menduga tekaanku. Sensitifnya hati isteriku apabila membicarakan tentang bayi dan mengandung. Perasaan inginkan zuriat menebal dalam hatinya. Apabila positif test awal dahulu, dia amat gembira namun bukan rezeki kami, isteriku tergelincir dalam bilik air dan........

Dia cuma mengangguk perlahan. Aku senyum dalam senyapku. Betul agakanku.

Sedikit masa kuambil sebelum kuungkapkan kata-kata nasihatku, "Sayang, mungkin belum rezeki kita. Mungkin rezeki mereka begitu caranya, rezeki kita lain pula caranya. Bukankah Allah itu Maha Adil. Dia Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk kita."

Mulalah aku membebel. Dia cuma mendengar sambil air mata setitik demi setitik membasahi lenganku.

"Walau apapun sayang, tak kira dapat anak cepat ke, dapat anak lambat ke, dapat anak seorang dua sahaja ke, dapat anak berderet-deret ke, pokok pangkalnya - bahagia. Tak guna dapat anak cepat, tapi tak bahagia. Tak guna anak berderet-deret, tapi tak bahagia."

Aku sambung, "Kita ni baru kahwin 4 bulan. Mungkin Allah suruh kita ni hidup berdua dahulu. Kita kena betul-betul hargai masa berdua yang kita ada sekarang. Nanti jika ditakdirkan mengandung, cara kita menghargai masa dah lain. Nanti anak dah lahir, lain pula. Yang penting, kita cari kebahagiaan dengan apa yang kita ada di depan mata kita dahulu."

Dia senyap sahaja.

Maafkan Abang, wahai isteriku. "Bertuah" kau dapat suami yang kuat membebel. :)

Pernikahan

0 comments



Aku terima nikah Sharifah Syaeirah binti Syed Safian dengan mas kahwinnya senaskah al-quran tunai.

Aku bernikah dengan Sharifah Syaeirah binti Syed Safian pada hari - 12 Februari 2010 atau 12022010 (itu akad nikah dengan Syeikh Yusri) manakala pada 14 Februari 2010 dengan kedutaan Malaysia diwakili Ustaz Hanif, pegawai Johor. Bukanlah nombor yang cantik, tapi ada apa pada nombor? Yang pasti, selepas ini apabila orang sibuk merayakan Valentine dengan kekasih, kami pula menyambut ulang tahun pernikahan kami. Aku menyambutnya dengan kekasih yang halal bagiku, setiap hari yang dipenuhi dengan cinta, bukan sekadar pada 14 Feb.

Sebenarnya, kami merancang untuk dinikahkan lebih lewat daripada tarikh majlis makan besar yang dijadualkan pada Februari tersebut. Namun atas masalah tertentu, majlis perkahwinan terpaksa diawalkan dan kami pada pihak lelaki tiada masalah untuk bersetuju dengan itu. Walimahnya pula pada 15 Februari. Usai urusan pernikahan, fikir pula mengenai majlis makan besar, tapi tidaklah sebesar mana, cuma sekadar kenduri kesyukuran. Lebih mudah begitu. Tambahan pula, selepas dinikahkan, lebih mudah untuk aku bantu dan berinteraksi dengan isteri tanpa mengundang fitnah.

Dengan ikatan pernikahan yang dijalinkan, aku mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah kerana memberikan aku peluang untuk melalui fasa hidup yang juga dilalui oleh nabi terakhirnya, Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah...

Benar,
aku perlukan seorang isteri,
untuk menemani hidupku yang kesepian,
untuk membuatkanku semakin sedar akan kebesaran Allah,
untuk menjadi pengingat bagi diriku ketika aku lupa,
menjadi ibu kepada anak-anakku nanti,
menjadi ketua bidadari yang menemaniku di syurga kelak,
Insya Allah...

Semoga segalanya berjalan dengan lancar pada hari ini. Aku minta maaf sekiranya ada yang terasa hati jika aku tidak maklumkan akan pernikahan kami. Aku minta maaf juga sekiranya ada yang terasa hati kerana tidak dijemput ke majlis pernikahan ini. Bukan apa, majlis pernikahan ini dibuat secara tertutup dan diadakan di Mesir. Hanya keluarga (kat Mesir, kawan-kawan adalah keluarga) dan rakan-rakan terdekat yang akan berada di tempat akad nikah itu . Buat rakan-rakan lain, aku jemput kalian semua untuk memeriahkan majlis persandingan kami sepertimana yang aku hantar melalui YM dan dikirim sahabat handai.

Wahai Al-Hafidz, wahai Syaeirah,
Berbahagialah hidup sebagai suami isteri,
Amin...

Monolog seekor lalat

0 comments


Tiba-tiba seekor lalat terbang dan masuk ke dalam buih Nescafe tarik aku.

Menggelupur buat seketika sebelum terus senyap. Tak bergerak. Mungkin sudah berakhirnya kehidupan seekor lalat.

‘Kakkk…masuk lalat lah, tolong buat yang lain ya…’ kata aku. ‘Maaflah dik, kakak buat yang lain ya.’ Kata kakak itu. dan aku meneruskan kehidupan seperti biasa.

Nama aku Mat. Nama betul aku tak payahlah korang tahu, cukuplah kalian mengenali aku sebagai Mat sahaja sepertimana kebanyakan rakyat Malaysia ini. Biasalah kan, korang pun selalu dengar ‘mamat tu kurang ajar betul..tiba-tibanya masuk ke depan kereta aku, dah
lah tak bagi signal…’ atau ‘hari tu tayar kereta aku pancit tepi highway, nasib baik ada Mamat sorang tu berhenti tolong, kalau tidak tak tahulah aku…’ atau ‘ Ngko ingat aku tak kenal mamat tu hah? Kalau aku nampak ngko dengan dia lagi, aku bagi kat situ jugak..’. Nama Mamat dah menjadi sinonim dengan kehidupan kalian sehari-hari.


Aku ? Aku adalah seekor lalat dari spesis Musca Domestica atau Lalat Rumah dari keluarga Diptera iaitu serangga yang mempunyai dua sayap. Aku adalah antara 1.5 juta spesis lalat yang
berterbangan di seluruh dunia. Aku berusia 8 hari dan pada usia sebegini aku sudah menjadi dewasa. Aku sudah menghabiskan sekolah rendah dalam masa 2 hari, sekolah menengah dalam masa 2 hari dan melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam masa 3 hari. Kelmarin
aku baru dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Makanan dan Sampah Sarap.
Tak ada konvokesyen macam Mat Jan, cuma ambil ijazah di tepi tong sampah sahaja.

Malam tadi, semasa aku berterbangan mencari sesedut makanan, aku singgah sebentar di lorong belakang sebuah bangunan. Aku nampak seorang perempuan yang cantik. Bergaya dan seksi sekali. Aku singgah sebentar di atas bahunya sebab aku nak survey kalau ada sisa-sisa makanan yang ada sekitar kawasan itu. Malangnya aku dihalau dengan libasan tangannya sambil mulutnya memaki hamun aku.


‘Celaka punya Lalat..!’ kata dia. Aku dihina sebegitu rupa seolah-olah aku adalah seekor binatang. Aku bukan binatang, aku adalah serangga. Walau aku dituduh sebagai pembawa penyakit dan virus yang merbahaya bersama-sama Sang Nyamuk, sekurang-kurangnya aku lebih baik dari dia. Seberapa ketika kemudian aku melihat dia dipimpin oleh seorang lelaki masuk ke dalam bilik belakang bangunan. Sekotor-kotor aku, engkau lebih kotor, lebih hina !.
Aku meninggalkan kawasan kotor itu dengan maki hamun di dalam hati. Aku terbang lagi dan aku mengembara di atas bumi Tuhan ini.


Aku sekadar ingin mencari rezeki dari rezeki yang kamu buang dan kamu humban di dalam tong sampah. Hinakah aku?. Rezeki yang Tuhan bagi kepada kamu, kamu bazirkan dan kamu berikan pada aku.Siapa yang lebih hina? Aku tak pernah sia-siakan sisa-sisa rezeki kamu. Kalau banyak, aku panggil kawan-kawan aku. Kami berkenduri di situ. Sekurang-kurangnya aku menyapu-nyapu tanganku sebelum menjamah makananmu tidak seperti kebanyakan kalian yang langsung tidak membasuh tangan.

Apabila hari dah pagi, aku terbang melata lagi. Itulah kerja aku dan itulah kehidupan aku. Aku singgah sebentar di satu tong sampah belakang sebuah rumah.Deria rasaku pada kaki-kakiku memberitahu sesuatu. Ada banyak makanan. Ada yang masih elok untuk di makan oleh kalian. Sudah rezeki aku. Sambil makan, aku melihat pada sehelai surat khabar. Aku membacanya sebaris dua dengan mata yang kabur sebab aku mempunyai mata kumpuan yang mampu menyedarkan aku pada setiap kilas pergerakan.(aku pandai membaca ketika usia aku satu hari di sekolah rendah jenis kebangsaan lalat). Isi beritanya memualkan aku. Berita dari prosiding Mahkamah, berita rogol, bunuh, culik, rasuah dan sebagainya. Selera makan aku terpadam. Dalam masyarakat aku tak ada berita-berita itu semua. Apa yang biasa aku dengar dalam masyarakat aku hanya berita kematian lalat yang ditampar dengan sadisnya oleh manusia, kematian lalat yang disembur dengan Ridsect atau Sheltox,kematian lalat akibat sakit tua atau kematian lalat akibat terkena renjatan elektrik pada perangkap ultra violet. Berita-berita yang memualkan itu menyebabkan aku segera meninggalkan tempat itu. Aku sudah tiada selera untuk makan. Kalian memang memualkan aku.


Sehina-hina masyarakat aku, masyarakat kalian lebih hina sebenarnya. Sambil terbang, aku terfikir. Kenapa aku dituduh dengan bermacam-macam tomahan? Aku tidak pernah berak atas badan kalian tapi kenapa titik-titik hitam ciptaan Tuhan itu dikatakan sebagai tahi aku?. Ironinya, bila tahi aku berada di penjuru bibir kalian, itu dikatakan manis? Kenapa bila kalian pening-pening dikatakan sebagai pening-pening aku? Kenapa aku dijadikan perumpamaan seperti lalat langau mengerumuni bangkai? Sedangkan tahi aku dan kitaran hidup aku pada bangkai itu menjadi maklumat penting kepada Pathologist untuk menganggarkan usia kematian
lada’ ?. Eh, itu burung, ngko jangan nak tipu aku. Aku Bahasa Malaysia dapat ‘A’ tau. Begitulah buruk dan hodohnya aku pada mata kalian.


Kadang-kadang aku pun ingin menjadi seperti burung. Terbang tinggi menyapu awan tapi aku tetap bersyukur dengan anugerah Tuhan. Dengan sayap-sayap ini aku belajar erti kehidupan kalian. Walau aku cuma mampu hidup selama 40 hari dan sekiranya aku melangkaui 40 hari kemungkinan aku mampu hidup sehingga ke 100 hari. Itu hakikat kehidupan aku yang mungkin kalian tidak tahu. Aku hanya mampu berdoa agar aku mampu hidup sehingga 100 hari dan aku cuba menghindari kawasan-kawasan berisiko tinggi. Tidak seperti kalian yang mencari mati di atas jalan-jalan raya dengan motosikal-motosikal dan kereta-kereta turbo bagaikan pelesit.
Matahari semakin tinggi dan cuaca menjadi semakin panas. Aku perlu tempat yang terlalu sejuk dan membeku kerana di tempat sebegitu, aku mampu pengsan selama berpuluh-puluh hari dan aku hanya akan sedar sekiranya aku dipanaskan balik dengan sedikit haba. Aku cantik. Aku masuk dengan menumpang seseorang yang membuka pintu. Aku terbang dengan ceria sebab tubuhku menjadi sedikit dingin terkena hembusan pendingin hawa. Aku terpandang sebuah komputer yang terbuka dan seseorang sedang mangadapnya dengan penuh konsentrasi. Aku singgah sebentar di atas kerusinya. Dia tidak menyedarinya.

Terlalu asyik dia. Aku cuba membaca apa yang terpapar pada skrin komputer. ‘Ah !, sebuah Blog dengan nama Life Is A Fairytale…terdapat sebuah catatan tentang seekor lalat, apa ke jadahnya dia membaca cerita pasal lalat? Tak ada kerja ke dia ? Boss dia tahu atau tidak yang dia! sedang berpura-pura berkerja? Apa dia tak sedar yang majikannya membayar gaji dia untuk membuat kerja dan bukannya membaca sebuah cerita tentang entah apa-apa..’ bisik hati kecil aku. Manusia, manusia…


Lalu aku terbang meninggalkan dia yang masih lagi membaca catatan tentang seekor lalat. Mungkin dia ingin tahu tentang ending cerita lalat. Menarik sangat kah cerita seekor lalat?. Entahlah….dan aku masih dianggap kotor, jijik dan hodoh.

Epilog.

Lalat itu meninggal di dalam buih-buih air Nescafe tarik aku pada usia 10 hari. Dia tidak sempat menatap terbitnya fajar ke 100 100 hari mungkin dia sudah menjadi presiden lalat-lalat dan dengan daya fikirnya yang tinggi, dia mungkin mampu mengumpulkan lalat-lalat seluruh dunia dan menyerang manusia. He he he. Jangan marah lalat. kajian menunjukkan bahawa 80 peratus manusia yang membaca cerita ini akan memandang ke belakang kerusinya dan mencari kot-kot ada lalat….)