Kisah dua biji benih

0 comments

Dua biji benih pokok bunga Keembung telah disemai sebelah menyebelah di sebuah taman bunga yang subur tanahnya.

Biji benih pertama berkata, "Aku mahu bercambah dan tumbuh membesar! Aku mahu akarku tertanam sedalam-dalamnya di dalam tanah sehingga melepasi kerak bumi. Aku mahu kuntuman bungaku mekar sehingga dapat kurasai kehangatan cahaya matahari dan menggembirakan si anak gadis apabila melihatku".

Biji benih kedua pula berkata,"Tidak! Aku takut. Jika aku tumbuh membesar, aku tak tahu apa yang akarku akan tempuhi didalam kegelapan tanah. Jika bungaku mekar berkembang, para siput akan menggigit aku! Anak-anak kecil akan memetik aku! Tidak! Tidak! Tidak...! Aku tidak sanggup. Lebih baik aku menunggu waktu dan masa yang lebih selamat".

Maka, biji benih kedua itupun menunggu waktu yang selamat untuk bercambah. Tiba-tiba kedengaran bunyi kokokan ayam dari jauh. Semakin lama semakin dekat bunyi tersebut. Ternyata ayam tersebut sedang mencari makan. Sambil mengais-ngais tanah, ternampaklah ayam tersebut akan biji benih kedua tersebut lalu dimakannya.

Wahai kawan-kawanku, beranilah menghadapi cabaran. Cabaran mematangkan cara kita berfikir dan bertindak. Jangan takut menzahirkan cara hidup Islam yang bagaikan bunga mekar di taman. Jangan takut menambah iman di dalam hati yang bagaikan tumbuhnya akar di dalam tanah... kerana jika anda takut dan kecut... anda akan hancur dimakan zaman. Buka minda... buka hati... kenali diri!

Kisah balang kaca

0 comments

Seorang pensyarah di Kolej Safir yang bernama Dr. Izwan kelihatan sudah bersedia memulakan kelas falsafah beliau. Suasana di dewan kuliah sunyi sepi dan para pelajar nampaknya sudah bersedia mendengar syarahan daripada Dr. Izwan.

Kelihatan di atas meja Dr. Izwan terdapat sebuah balang kaca yang besar dan secawan air kopi yang sungguh harum aromanya. Tanpa berkata apa-apa, Dr. Izwan meletakkan beberapa biji bola golf ke dalam balang kaca tersebut sehingga penuh. Kemudian, Dr. Izwan bertanya, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?". Para pelajarnya menjawab, "Ya, balang kaca itu sudah penuh".

Kemudian, Dr Izwan memasukkan beberapa biji manik ke dalam balang tersebut dan menggoncangkannya. Manik-manik tersebut mengisi ruang-ruang kosong di celah-celah bola golf di dalam balang tersebut. Dr. Izwan bertanya lagi,"Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?". "Ya", jawab para pelajarnya.

Kemudian, Dr. Izwan mengisi pula balang tersebut dengan pasir pula. Dengan mudah pasir-pasir tersebut mengisi ruang-ruang yang masih ada di dalam balang kaca tersebut. Dr. Izwan tanpa segan silu bertanya lagi,, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?". "Ya", jawab para pelajarnya yang nampaknya agak keliru dan terasa seperti diperbodohkan.

Kemudian, dengan yakin Dr. Izwan mengisi balang kaca tersebut dengan air kopinya. Kedengaran suara seperti orang ketawa kecil. Suasana di dalam dewan kuliah mula hingar-bingar seketika. Dr. Izwan sambil tersenyum sinis bertanya,"Adakah balang kaca ini sudah penuh?. Para pelajarnya menjawab, "Ya, sudah penuh".

Seorang pelajar Dr. Izwan mengangkat tangan sambil bangun dan bertanya,"Kenapakah Dr. Izwan berbuat demikian?". "Baiklah saya akan terangkan sebabnya... balang kaca ini melambangkan kehidupan kita semua. Bola golf itu pula melambang perkara-perkara yang paling penting yang perlu diisi ke dalam kehidupan kamu seperti agama kamu, amal ibadah, pelajaran, ibubapa, keluarga dan sekiranya tiada perkara lain pun kehidupan kamu tetap juga penuh. Manik-manik kecil itu pula umpama perkara-perkara keperluan kamu seperti rumah, kereta, pangkat dan sebagainya. Begitu juga pasir tersebut melambangkan perkara-perkara kecil yang lain dalam kehidupan kamu", jawab Dr. Izwan dengan yakin dan gayanya yang tersendiri.

"Cuba kamu bayangkan jika balang kaca tersebut diisi bermula dengan pasir, sudah tentu ruang untuk bola golf dan manik amat terbatas. Begitulah juga kehidupan, jika kita hanya menghabiskan tenaga dan masa hanya kepada perkara kecil dan remeh... pasti dan pasti kita tiada lagi ruang masa dan tenaga untuk perkara-perkara yang penting dan bermanfaat", Dr. Izwan menyambung.

Tiba-tiba seorang pelajarnya bertanya, "Habis... air kopi tu melambang apa pula?". Sambil tersenyum Dr. Izwan menjawab, "Walau sesibuk mana pun kamu semua, ketahuilah bahawa kamu masih lagi punya waktu untuk minum secawan kopi bersama ibubapamu.

Wahai kawan-kawanku sekalian... jika kamu berasa kehidupan ini terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan sehingga anda merasakan masa selama 24 jam itu tidak cukup... sebenarnya anda silap! Berfikirlah dengan akal berpandukan Iman di dalam hati... tentukan yang mana satukah prioriti. Jangan lupa fahami sedalam-dalamnya tafsiran surah Al-'Asr!!!.

Kisah lobak merah, telur dan hot chocolate

0 comments

Nur Izzah, seorang pelajar undang-undang di Kolej Safir merasakan hidupnya tertekan kerana silih-bergantinya masalah yang perlu dihadapinya. Sudah sampai tahap “HORROR WEIIII…”, katanya. Maka, Nur Izzah pun mengadu hal ini kepada bapanya, seorang Chef tersohor di mata dunia, bernama Chef Jay.


Di dalam dapur yang sentiasa berasap, Chef Jay mengambil 3 biji periuk ‘Stainless Steel’ yang berisi air paip dan memanaskannya di atas dapur gas yang kuat apinya. Nur Izzah kelihatan bingung melihat gelagat ayahnya, Chef Jay itu. Apabila air di dalam periuk tersebut kelihatan mulai menggelegak, Chef Jay memasukkan lobak merah, telur ayam kampung dan 5 sudu besar serbuk coklat panas jenama Galaxy (serius memang sedap), setiap satunya ke dalam periuk yang berasingan.

Nur Izzah menarik muka masam, tidak merasakan ayahnya, Chef Jay memahami masalahnya. Selepas beberapa ketika, Chef Jay mengangkat lobak merah dan telur ayam kampung ke dalam dua mangkuk dan menuangkan coklat panas ke dalam gelas. Dialog antara ayah dan anaknya pun bermula…

Chef Jay: Apa yang Izzy (nama manja) nampak?

Nur Izzah: Lobak merah, telur ayam kampung dan coklat panas…

Chef Jay: O.K… Cuba Izzy rasa lobak merah, kupas telur ayam kampung dan hirup sedikit air coklat panas tu…Lepas tu.. beritahu ayah apa yang Izzy rasa.

Nur Izzah: Hmmm… lobak merah tu lembut dan senang dikunyah, telur ayam kampung tu sebelum masak dalamnya cair(mentah) tapi bila dah rebus jadi keras dan yang paling sedap air coklat panas tu yang begitu enak ketika panas. Tapikan... kenapa ayah buat macam ni???

Chef Jay: Sesungguhnya, dengan memasak pun boleh menyelesaikan masalah Izzy tu. Ketiga-tiga bahan tu memberikan tindakbalas yang berlainan terhadap air panas yang menggelegak. Lobak merah yang pada mulanya keras menjadi lembut bila direbus. Telur ayam kampung pada mulanya isi dalamnya cair, tetapi menjadi keras apabila direbus. Coklat panas itu pula tidak enak dimakan begitu sahaja, tetapi enak diminum panas-panas apabila dibancuh dengan air panas.

Nur Izzah: Jadi apa kaitannya dengan masalah Izzy ni… Izzy tak faham.

Chef Jay: Air yang panas menggelegak itu umpama semula masalah Izzy dan ketiga-tiga bahan itu menggambarkan yang mana satukah Izzy nak jadi. Jangan jadi seperti lobak merah, pada mulanya keras (kuat) tetapi lembut (lemah) apabila di rebus di dalam air panas (masalah). Jangan jadi seperti telur ayam kampung isi dalamya cair ( umpama hati yang lembut dan boleh di bentuk), tetapi apabila direbus menjadi keras (hati menjadi keras umpama batu) walaupun daripada luar kelihatan masih sama. Jadilah seperti Coklat panas itu, menukar air panas itu dan menjadi air coklat panas yang enak. Begitulah Izzy yang sepatutnya, jadikanlah masalah itu sesuatu yang memberi manfaat dan pengalaman yang berharga di dalam hidup, moga-moga kita lebih matang dan bijak menghadapi masa hadapan…

Nur Izzah menitiskan air mata terharu mendengar nasihat ayahnya itu… Seakan-akan muncul semangat baru di dalam diri Nur Izzah untuk terus mara ke hadapan.


Sahabat-sahabatku sekalian… Ujian adalah Tarbiyyah daripada Allah s.w.t. Berilah pertolongan kepada mereka yang bermasalah walaupun hanya sekadar mendengar masalah mereka. Moga-moga kita dirahmati Allah s.w.t. Amin…

Kopiah, serban dan songkok: yang mana lebih sunnah

1 comments

Memakai serban dan kopiah adalah sebahagian daripada Sunnah Nabi, ini berdasarkan sabdanya:

Sabda Rasulullah SAW:

دخل النبي صلى الله عليه وسلم مكة يوم الفتح و عليه عمامة سوداء

“Nabi SAW memasuki Kota Mekah sewaktu pembebasan Mekah, baginda memakai serban hitam”.

Pemakaian serban dan kopiah sudah sinonim dalam masyarakat Islam di seluruh dunia dan ia juga telah dijadikan amalan seharian masyarakat walaupun di luar urusan ibadah terhadap Allah. Justeru itu, adalah sukar bagi sesetengah individu untuk menukar pemakaian serban dan kopiah kepada pemakaian songkok seperti yang biasa dipakai oleh segelintir masyarakat Melayu.

Telah menjadi budaya masyarakat Islam setempat mengamalkan cara pemakaian songkok atau kopiah mengikut tempat :

a. masyarakat Melayu Islam sebelah Pantai Timur memakai kopiah putih dan serban.
b. masyarakat Melayu Islam sebelah Pantai Barat memakai songkok hitam.

Pada asalnya, kopiah dan songkok itu adalah sama dari segi rupa, bentuk dan warna (berwarna putih atau hitam). Sementara serban pula dipakai bersama dengan kopiah mengikut amalan Rasulullah S.A.W. Setelah perubahan zaman sehingga Zaman Uthmaniyah, bentuk songkok diubahsuai menjadi tarbus. Kini, songkok dalam budaya Melayu difahami dengan rupa hitam dan keras. Manakala, kopiah difahami dengan warna putih dan lembut.


PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP SERBAN & KOPIAH

Firman Allah Taala dalam Surah Al-A’raf ayat 31

Bermaksud :
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadah ( atau mengerjakan sembahyang ) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”.

Menurut Imam al-Mawardi, maksud berhias di dalam sembahyang ialah memakai secantik-cantik pakaian . Manakala menurut pendapat Imam Abu Hayyan, zahir ayat di atas menunjukkan bahawa berhias dengan secantik-secantik pakaian (termasuklah memakai songkok dan berserban) bukan sahaja dituntut di dalam sembahyang bahkan di luar waktu sembahyang (setiap masa dan ketika) .

Menurut Sheikh Mahmud Syaltut, ketika memberi jawapan kepada soalan berhubung dengan sembahyang tanpa serban, kopiah atau songkok di kepala, beliau berpendapat tidaklah menjadi syarat sah sembahyang dengan menutup kepala atau tidak dan tidak pula disyaratkan jikalau untuk menutup kepala mesti dengan penutup khas. Walaupun begitu, bagi seseorang Islam eloklah dia bersembahyang dengan memakai serban, kopiah atau songkok dengan syarat tidak menutup dahi ketika sujud.

At- Tarmizi dan Muslim meriwayatkan daripada Ja’far bin ‘Amrin bin Huraith, daripada bapanya katanya:

رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم وعليه عمامة سوداء قد أرخى طرفيها بين كتفيه

Maksud: “Aku melihat Rasulullah SAW di yang memakai serban hitam di mana Baginda melabuhkan kedua hujungnya di antara dua bahunya”.

Berkata pengarang kitab Al-Mishbah : Hassan bin Ali dan Ibnu Zubair pernah memakai serban hitam ketika berkhutbah dan begitu juga Anas, Muawiyah, Ammar dan lain-lain lagi. Dan adalah Sa’id bin Musayyib memakai serban hitam pada hari raya puasa dan haji.

Berdasarkan yang demikian, sebahagian ulama berpendapat tidak perlu mengkhususkan dirinya dengan memakai serban hitam sama ada hari Jumaat atau hari-hari yang lain.

Berkata Imam Nawawi : “Memakai warna putih adalah lebih utama. Dan serban putih adalah lebih sesuai sebagai perhiasan para ulama’ pada zaman ini”.

Muslim, At-Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jabir R.A. katanya :

إن النبي صلى الله عليه وسلم دخل مكة وعليه عمامة سوداء

Maksud :
“Bahawasanya Nabi S.A.W. memasuki kota Makkah dengan memakai serban hitam.

Dalam hadis Jabir R.A. di atas, Rasulullah SAW memasuki kota Makkah dengan memakai serban hitam dan hadis ini tidak pula menyebutkan adanya ekor serban di antara kedia-dua bahu baginda.

Berkata Ibnu Qayyum : Hadis Jabir ini menunjukkan Baginda SAW tidak selamanya menjuntaikan ekor serban baginda. Selain daripada itu, Baginda juga terkadang melilitkan sebahagian serban itu ke bawah dagu, yang di antara tujuannya ialah menjaga supaya serban itu tidak jatuh dari kepala. Dan tercapailah tujuan memakai serban itu dengan mana-mana cara sekalipun.

Menurut Sheikh Muhammad Rasyid Reda, erti serban sebagaimana yang telah disebutkan oleh sesetengah orang ialah setiap apa yang diikat di kepala sama ada di bawah kopiah, atau di atas songkok, atau yang dililitkan ke atas kopiah, atau sebagainya.

Sheikh Muhammad Rasyid Reda pernah ditanya adakah memakai serban itu sunnah rasulullah SAW dan adakah orang yang memakai serban itu mendapat pahala. Untuk menjawab soalan itu, beliau memberikan jawapan berikut :

"Telah tsabit dalam hadith bahawa Nabi SAW terkadang :
  • memakai serban di atas kopiah, dan inilah sering berlaku
  • memakai serban tanpa kopiah
  • memakai kopiah tanpa serban
Di akhir jawapannya, beliau berkata: Walaupun tidak ada datang perintah atau sumber hukum (yang kuat) supaya mewajibkan memakai serban atas dasar sebagai salah satu hukum agama dan syariat, tetapi barangsiapa yang memakainya dengan niat menyerupai cara Rasulullah SAW berpakaian dan sebagai tanda kasih kepada Baginda SAW, tentulah niat ini mendapat ganjaran pahala.

Sabda Rasulullah SAW:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يلبس العمامة على القلانس

Maksud :
“Sesungguhnya Rasulullah SAW memakai serban bersama kopiah”.


Imam Sayuti Rahimahullah berkata : “Apa yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa yang dipakai oleh Nabi SAW dan sahabat RA di bawah serban ialah al-Qalansuah atau kopiah. Kalimat Kopiah yang disebutkan pula menunjukkan bahawa ianya adalah lebih menyerupai sesuatu yang diperbuat dari jenis kain kapas dan bulu.

Al-Baihaqi pernah meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Nabi SAW memakai kopiah putih. Ini menjelaskan bahawa pemakaian kopiah juga adalah sunnah Rasulullah SAW.

Kesimpulannya Sesungguhnya menurut kajian para ahli dan pentahqiq hadith, tidak ada satupun
hadith yang sahih mahupun hassan mengenai KEUTAMAAN/KELEBIHAN memakai serban
melainkan disebut di dalam hadith-hadith bahawa Rasulullah memakainya.Dan sifat
hadith-hadith yang disebutkan di atas bertentangan dengan hadith mutawatir yang
lain.

PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP SONGKOK

Songkok harus dipakai kerana tidak bertentangan dengan Islam dan ia merupakan pakaian kebiasaan yang dipakai oleh masyarakat Melayu terutama semasa solat dan dipakaikan bersama Baju Melayu. Asasnya kerana ia berkonsepkan sebagai penutup kepala. Perbuatan menutup kepala bagi lelaki adalah Sunnah Nabi berdasarkan mafhum hujah berikut:

Menurut Imam As-Sayuti yang diringkaskan dari buku ”Al-Hawi”nya (2:111-112) : Berdasarkan keterangan lalu, Nabi Muhammad SAW pernah memakai kopiah putih dan begitu juga Anas bin Malik RA. Dipadankan juga daripadanya bahawa sekiranya serban atau kopiah tidak ada, Nabi SAW tidak akan membiarkan kepala Baginda yang mulia terdedah begitu sahaja, akan tetapi Baginda akan membalutnya sehingga sampai ke dahi”.

Berdasarkan pendapat Imam Sayuti di atas, pemakaian songkok adalah diharuskan sebagai satu konsep menutup kepala sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang tidak akan membiarkan kepala Baginda yang mulia terdedah begitu sahaja tanpa penutup kepala.

Berdasarkan kepada hujah Imam Sayuti sebelum ini berkenaan dengan maksud Qalansuah (bahawa ianya adalah lebih menyerupai sesuatu yang diperbuat dari jenis kain kapas dan bulu), songkok juga boleh dikategorikan sebagai Qalansuah.


Berdasarkan kepada hujah-hujah atau dalil-dalil di atas jelaslah bahawa pemakaian serban dan kopiah adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Ia perlu dihayati setiap masa sama ada di dalam atau di luar solat. Di samping ianya menunjukkan ketaqwaan, kehebatan, kewibawaan, keilmuan si pemakainya.

Berdasarkan fakta di atas juga pemakaian songkok juga diharuskan kerana tidak ada sebarang percanggahan dengan hukum Islam dan ianya berkonsepkan penutup kepala seperti serban dan kopiah. Ia merupakan budaya masyarakat setempat di mana mereka memakai songkok ketika beribadah dan ketika menyambut hari-hari kebesaran Islam.


sumber utama: ustaz melaka

Kematian

0 comments


Kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dielak kerana setiap manusia pasti menghadapi maut. Tentang kesakitan yang dirasai ketika sedang bertarung dengan maut, Rasulullah saw menjelaskan dalam hadis-hadisnya bahawa sakit ketika hampir mati itu laksana kesakitan ditetak seratus kali dengan pedang yang tajam atau seperti dikoyak kulit dari daging ketika hidup-hidup.

Amatlah beruntung seseorang itu sekiranya dia mati dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan) dan adalah menyedihkan sekiranya dia mati dalam keadaan suul-khatimah.

Tentang tanda-tanda samada seseorang itu akan mendapat kebajikan atau tidak, terdapat hadis Rasulullah saw dari Salman Al Farisi yang bermaksud:

"Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu:

Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya

Kedua: berlenang air matanya dan

Ketiga: lubang hidungnya kembang kempis

Itu adalah tanda bahawa rahmat Allah sedang turun dan dirasai oleh orang yang hampir mati itu. Sebaliknya jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, ini menandakan azab Allah sedang menimpa dia."

(Hadis riwayat Abdullah, Al-Hakim dan At-Tarmizi)

Berdasarkan hadis ini, ada sebilangan mukmin yang ketika hampir mati, masih terdapat sisa-sisa dosa padanya. Namun Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani menentukan orang itu mati dalam keadaan khusnul khatimah dan mengampuni segala dosa-dosanya itu.

Dipercayai bahawa kematian berlaku pada jasad manusia secara beransur, dari hujung kaki ke peha. Apabila rahmat diturunkan padanya kerana mati dalam khusnul khatimah ini, si mati akan merasa terlalu gembira dan kegembiraaan itu terlahir dengan keluarnya peluh pada pelipisnya.

Air mata yang keluar dan hidung yang kembang kempis pula adalah tanda bahawa si mati amat malu pada Allah SWT terhadap sisa-sisa dosanya yang belum sempat ditaubatinya. Orang-orang yang kuat imannya akan merasa malu untuk melakukan dosa semasa hidupnya kerana merasa bahawa Allah sentiasa memerhatikannya. Oleh itu, disaat kematiannya, Allah melimpahkan rahmatNya dengan mengampunkan dosa-dosanya.

Orang-orang yang kafir pula, dia tidak merasa malu pada Allah SWT. Oleh itu apabila nyawanya hendak dicabut oleh Izrail, wajahnya gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Ini juga merupakan penanda bagi azab yang diterimanya disebabkan oleh dosa-dosa dan kekufurannya.

Dari Alqamah bin Abdullah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar."

Terdapat juga orang mukmin yang berdosa, dan Allah menimpakan kekasaran dan mala petaka sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah atas segala dosanya.

Oleh itu apabila rohnya keluar dari jasad, dosanya telahpun terhapus.

Kadang-kadang kita melihat seorang mukmin yang mati dalam kepayahan dan seorang kafir yang mati dalam ketenangan. Hendaklah kita berbaik sangka dengan orang mukmin tersebut kerana mungkin itu merupakan kaffrarah terhadap dosanya dan dia menemui Allah SWT dalam keampunan kerana sisa-sisa dosanya telah pun dikaffarah.

Orang kafir yang mati dalam ketenangan pula, mungkin semasa hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana janji Allah bahawa setiap kebajikan akan dibalas.

Tetapi kerana dia tidak beriman, kebajikan itu tidak menjadi pahala dan kekufurannya akan diazab di akhirat kelak.

Oleh itu, kita yang masih hidup harus sentiasa berbaik sangka dan mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Moga-moga kita akan menemui Allah dalam keadaan khusnul khatimah dan dalam limpahan rahmat dan keampunanNya.

Ubat pencuci dosa

0 comments

Hassan Basri telah bercerita bahawa suatu hari dia bersama seorang pemuda ahli ibadah berkeliling melalui jalan-jalan kecil dan beberapa pekan di negeri Basrah. Tiba-tiba ia bertemu dengan seorang tabib yang sedang duduk diatas sebuah kerusi, di hadapannya ada beberapa orang lelaki, perempuan, dan kanak-kanak yang sedang memegang botol berisi air di tangan mereka. Setiap orang meminta tabib itu menyebutkan ramuan ubat bagi penyakit masing-masing. Hasan Basri mara ke depan tabib itu dan berkata:

"Tuan tabib! Adakah tuan mempunyai ubat yang boleh mencuci dosa, serta menyembuhkan penyakit hati?".

Berkata Tabib itu: "Ya, saya ada". Lalu pemuda itu berkata: "Berilah pada saya".

Berkata Tabib itu: "Ambillah dari saya sebagai ramuannya sebanyak 10 perkara iaitu:

* Ambil oleh mu akar kayu fakir dan akar kayu tawaduk dan campurkan dengan pencuci kotoran perut bernama taubat. Lalu masukkan semua ke dalam lesung redha, dan giling sampai halus dengan pengetam

* Qana'ah. Kemudian masukkan ke dalam periuk taqwa, dan tuangkan ke dalamnya air hayak (malu).

* Lalu didihkan dengan api mahabbah (cinta). Selepas itu pindahkan dia ke dalam mangkuk syukur dan kipaskan dengan kipas angin rajak (harapan). Kemudian minumlah dia dengan sudu pujian. Jika engkau perbuat semua itu, maka dia bermanfaat bagimu, untuk melindungi dirimu dari semua penyakit serta bala di dunia dan di akhirat".

Senandung rindu buat sahabat

4 comments

Saudaraku..
Kampung halaman yang penuh dengan keindahan dan kenikmatan yang hakiki telah ditinggalkan begitu lama..
Sanggupkah kita..
Ingatkah kita..
Istiqamahkah kita..
Tuk menapaki jalan menujunya..?

“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”

(Al Hadid: 20)


Akal yang menjadi kelebihan yang diberikan Allah SWT kepada manusia tentunya juga mempunyai keterbatasan dalam menyikapi sesuatu apalagi ketika akal itu tidak digunakan maksima dalam hidup ini tentunya banyak sekali kekeliruan kita dalam memandang sesuatu, bukankah gambaran sudah sangat jelas Allah berikan baik melalui Al-Quran dan sirah Nabi sebelum Nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW yang mana sungguh azab itu betul-betul diberikan kepada kaum yang tidak beriman dan bertaqwa pada Allah.

namun kerana kaum Muhammad ditangguhkan azabnya justeru kebanyakan lalai untuk memikirkan akan azab kelak dari perbuatan kita yang telah dilakukan bilakah kita akan menyedarkan diri dan senantiasa tersedar dalam kealpaan ini menunggu waktu kerana masih muda? Ingin enak-enak dulu menikmati dunia? Atau bahkan sama sekali kita tidak memikirkannya hingga apapun yang sekarang ini kita lakukan ukurannya hanyalah yang penting hati senang, astaghfirullah hal ‘adzim..

Melalui senandung rindu ini tentunya saya mengajak khususnya kepada diri saya peribadi dan umumnya kepada seluruh generasi muslim marilah kita sambut kita songsong perubahan terkecil dari dalam diri untuk memperbaiki segala akhlak kita tentunya sesuai Al-Quran dan As Sunnah mudah-mudahan dengan usaha kita yang sungguh-sungguh Allah memberikan jalan kemudahan dalam menapakinya sehingga kita meraih janji Allah iaitu untuk menjadi penduduk syurga yang kekal, marilah kita jadikan diri kita sebagai generasi rabbani untuk masa sekarang dan untuk masa yang akan datang dengan mengukir lukisan kebaikan menorehkan goresan pena dengan tinta-tinta emas sehingga menjadilah kita hamba yang beruntung lagi memperoleh kemenangan hakiki, amin..

Lewat senandung rindu ini ku kirimkan ungkapan kerinduan akan rindu pada sahabat sekaligus saudara seiman untuk bersama-sama kita berjuang menapaki perbaikan baik untuk diri kita pribadi kemudian untuk keluarga kita kemudian untuk masyarakat sekeliling dan tentunya imbasnya akan dirasa seluruh lapisan masyarakat dalam Negara kita tercinta ini, amin..

edited from World Of Islam